Frank Thomas dan Ollie Johnston mengajarkan bahawa pemikiran dan emosi di sebalik watak merupakan ciri-ciri utama kepada penghasilan setiap babak. [1] Daripada kesemua Nine Old Men, Frank dan Ollie paling dikenali kerana menjalin hubungan antara mentor dan perantis, serta berkongsi pengetahuan mereka tentang penciptaan watak, seperti yang diriwayatkan dalam buku Disney Animation: The Illusion of Life yang menyampaikan 12 prinsip asas animasi, dan dianggap sebagai 'kitab suci animasi' bagi sesiapa yang mempelajar animasi.
Antara tokoh-tokoh lain dalam animasi watak ini termasuk para pengarah filem Schlesinger/Warner Bros. (Tex Avery, Chuck Jones, Bob Clampett, Bill Melendez, Frank Tashlin, Robert McKimson, dan Friz Freleng), tokoh animasi Max Fleischer dan Walter Lantz, pelopor animasi Hanna-Barbera, bekas juruanimasi Disney Don Bluth, juruanimasi bebas Richard Williams, John Lasseter di Pixar, Nick Park di Aardman Animations, dan Yuri Norstein dari Rusia.
Walaupun hasil animasi watak biasanya terdapat dalam filem kartun, namun animasi watak semakin penting dalam industri permainan video. Para pemaju permainan menggunakan watak-watak yang lebih rumit demi memberikan kepuasan yang penuh kepada pemain yang ingin mendalami permainan secukup-cukupnya. Contoh-contoh animasi watak dalam permainan ialah Prince of Persia, God of War, Team Fortress II dan Resident Evil.
Animasi watak diiringi dengan animasi kesan khas yang mencipta apa-apa sahaja yang bukan watak, misalnya kenderaan, mesin, dan fenomena alam seperti hujan, salji, kilat dan air, dan juga efek-efek "tidak semulajadi" yang selalu ditampilkan dalam filem-filem cereka sains. Adakalanya, animasi kesan khas juga menggunakan prinsip-prinsip animasi watak, misalnya pseudopod dalam filem The Abyss.